CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »
Have A Lovely Day comment graphics

Wednesday, January 14, 2009

10 Pilihan MStar : Personaliti Paling Menyerlah

Pilihan mStar: 10 personaliti paling menyerlah 2008

PENCAPAIAN personaliti/selebriti yang disenaraikan di bawah sepanjang tahun 2008 mencatat sejarahnya tersendiri.

Pemilihan dibuat bukan atas dasar populariti semata-mata tetapi disebabkan kejayaan karier, bakat dan peribadi yang boleh dijadikan contoh. Juga atas faktor 'news value' yang dibawa oleh personaliti terbabit.

Ada antara mereka yang berjaya menukarkan situasi negatif kepada positif. Ada yang berjaya membuktikan tekanan atau desakan tidak menjejaskan karier. Semua yang tersenarai mempunyai semanjat juang yang tinggi.

Pilihan mStar dibuat atas kapasiti setiap individu, kredibiliti mereka dalam dunia masing-masing dan sejauh mana impak dan inspirasi yang dibawa oleh personaliti ini.

NABIL

Nabil menjadi rebutan semua stesen TV kerana lawaknya yang original.

Raja Lawak musim kedua ini begitu menyerlah sekali bintangnya. Tidak seperti Mawi yang memilih Maestro untuk menguruskan kerjayanya, Nabil sanggup mengambil risiko mengurus kariernya sendiri.

Ternyata pulangannya lebih lumayan dan hasilnya, Nabil menjadi rebutan kesemua TV stesen.

Yang menariknya, bintang kelahiran program Astro ini bukan milik Astro secara eksklusif. Ini dibuat atas pilihan Nabil sendiri yang tidak mahu terikat terlalu cepat dan bebas membuat pilihan.

'Siapa cepat dia dapat' - begitulah agaknya cara Nabil melobi dirinya yang semakin laris di pasaran.

Nabil pandai bergaul dan mempunyai hubungan baik dengan pihak media membuat Nabil disenangi dan beritanya sering mendapat tempat.

Daripada budak despatch yang tidak dikenali, kini namanya meniti di setiap bibir. Nabil juga sering dilabelkan sebagai pengganti Saiful Apek yang memegang takhta sebagai pelawak nombor satu negara.

Meskipun Nabil merupakan bintang kelahiran Astro, tetapi rezekinya lebih menyerlah di rangkaian saluran Media Prima Berhad (MPB) apabila menjadi salah seorang pengacara rancangan hiburan sensasi, Melodi.

Untuk tahun 2009, wajah komik Nabil akan dapat ditonton oleh para peminat setia beberapa rancangan di TV3 dan TV9.

Bagi saluran TV3, Nabil akan muncul bersama Raja Azura menerusi rancangan Ewah-Ewah, manakala di TV9 pula dalam rancangan kanak-kanak, Pondok Pondok.

MAWI

Benarkah populariti Mawi semakin pudar? Hanya masa akan menentukan....

Kejayaan Mawi adalah kejayaan Maestro juga dan begitulah sebaliknya. Pihak pengurusan Maestro bijak menyusun strategi untuk anak emasnya Mawi.

Dari berita kediaman banglo bernilai RM1.4 juta pada pertengahan tahun ini, kisah cinta dengan pelakon Nora'ashikin Rahmat atau Ikin pada 30 Mac lalu, diselit pula album baru bertajuk 'Habeebi, filem baru KRU Jin Notti, rakaman program TV Mawi Di Bumi Anbia di Timur Tengah, nama Mawi tidak pernah lekang dibibir peminatnya.

Meskipun penjualan album agak malap, Mawi masih mendapat pencalonan ke Anugerah Juara Lagu 23 bersama 'Doa Dalam Lagu' dengan penyanyi jelita Heliza.

Apa saja yang dilakukan, Raja SMS ini tetap menjadi buruan media. Tika membuat pengakuan terbuka pada akhir Oktober tahun ini tentang kisah cintanya dengan Ekin, nama Mawi sekali lagi melonjak, gara-gara sudah berpunya.

Sebelum tirai 2008 berlabuh, Mawi meraih tumpuan apabila perkahwinannya mendapat liputan meluas dari Astro. Bayangkan, selama 1 bulan lebih, kisah pernikahannya dengan Ekin diulang-ulang di media cetak dan letronik hinggalah ke 11 Januari 2009 (resepsi terakhirnya di Palace of the Golden Horses).

Bosan? Peminat Mawi tidak merasa bosan meskipun ramai yang menjangka auranya semakin pupus.

SITI NURHALIZA

Bukan senang hendak mengalahkan Datuk Siti Nurhaliza. Langsung tidak terjejas popularitinya walau ramai yang mengkritik tudung yang dikenakan.

Seorang lagi bintang popular yang pandai 'membawa diri' dan ada strategi sendiri untuk melayakkan dirinya senantiasa di tempat istimewa.

Selepas album pop 'Hadiah Daripada Hati', Siti mensasarkan album baru berkonsepkan pop Melayu dan tradisional bertajuk 'Lentera Timur' yang sudah diedarkan di pasaran baru-baru ini.

Walaupun tidak berminat bergelar pelakon, Siti tetap diburu untuk berlakon filem. Terbaru, pengarah filem Ayat-Ayat Cinta melamarnya untuk mendendangkan lagu runut bunyi filem terbaru arahannya yang bertemakan ketuhanan, bertajuk 'Perempuan Berkalung Serban.'

Dan dua buah lagu 'Ketika Cinta' dan 'Batasku Asaku' sudahpun dibuat klip video.

Gelombang perkahwinan dengan Datuk K yang aman dan bahagia kadang kala berkocak jua bila tangan-tangan nakal mula menulis dan mengusik tentang kedatangan cahaya mata yang masih belum menampakkan tanda.

Keresahan dan keterujaan bergelar ibu menjadikan Siti fokus berita.

Begitu juga dengan pilihan Siti untuk bertudung selepas kembali menunaikan Haji. Disebabkan cara pemakaian tudung Siti yang agak berlainan, maka selalu saja beliau mendapat kritikan.

AZNIL NAWAWI

Pengacara No 1 masih kekal di tangan Aznil Nawawi. Kesederhanaan, kebijaksanaan mengacarakan apa saja bentuk rancangan menjadikan Aznil tetap dekat di hati.

Pengacara nombor satu tanahair ini adalah ikon dan begitu sinonim dengan populariti Akademi Fantasia (AF).

Kebolehan Aznil, 46, mengendalikan pelbagai program memberikan kelebihan padanya. Selain AF, Aznil juga popular menerusi program bual bicara Macam-Macam Aznil (MMA).

Selepas memenangi anugerah Program TV Terbaik pada Anugerah Sri Angkasa 2004, Aznil ibarat artis contoh yang pentingkan kualiti kerja setiap masa.

Tahun depan, dua bengkel jelajah Aznil akan diadakan serentak. Salah satunya adalah anjuran Astro Ceria iaitu Suara Kita Aje dan satu lagi menyaksikan dirinya bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia dalam program yang diberi nama Speak Up!

Pelbagai anugerah diperolehinya sepanjang 20 tahun karier seninya memahat nama Aznil sebagai selebriti yang unggul.

Pelakon/pengacara terkenal yang kreatif ini berhasrat melakukan 'hijrah' seni tidak lama lagi. Hasrat ini disuarakan selepas beliau kembali dari menyempurnakan Haji baru-baru ini.

Aznil kepingin berhijrah ke satu daerah seni yang lebih sesuai. Mudah-mudahan.

CHEF WAN

Selebriti terkenal Chef Wan banyak membawa kemasyuran pada negara Malaysia.

Selebriti masakan yang dikenali hampir seluruh dunia, Chef Wan seharusnya berbangga dengan pencapaian hidupnya hari ini.

Saban tahun, resumenya semakin cemerlang dan padat. Kejayaan tidak mengubah peribadi tukang masak terkenal ini.

Populariti yang dikecapi Chef Wan bukan hasil kerja setahun dua tetapi 25 tahun pengabdian dalam bidang yang digemarinya.

Selebriti yang peramah ini jarang berada di dalam negara kerana tugas sebagai duta masakan memasyurkan negara dan masakan tradisional.

Chef Wan juga terpaksa mengorbankan waktu untuk keluarga walaupun ketika menyambut hari raya Aidilfitri.

Tahun ini, Chef Wan terpaksa meninggalkan keluarga dan tanah air untuk beberapa rakaman program masakan di negara China. Dalam pada itu, Chef Wan sempat juga mencuri masa terbang balik untuk rakaman program khas, Ole-Ole Chef Wan Raya.

Pada bulan Julai tahun ini, Chef Wan memanaskan industri dengan berita yang dia disihirkan oleh rakan seperjuangan. Namun berita itu 'mati' begitu sahaja bila Chef Wan membuat cabaran di media.

Dan tukang masak terkenal ini kembali sibuk dengan tugasnya sebagai duta masak Malaysia ke seluruh dunia.

VERNON KEDIT

Kredibilitinya sebagai Pengurus Artis tahap profesional tidak boleh dinafikan.

Kredibiliti pengurus artis bernama Vernon Kedit-Jolly ini tidak perlu dipertikaikan lagi.

Kejayaan demi kejayaan yang diperolehi anak didiknya, penyanyi Ning Baizura adalah pembuka mata segala usaha keras Vernon selama ini.

Pengurus yang mempunyai latar belakang undang-undang dan pernah menjadi penkritik program Gang Starz ini cekap membawa perubahan positif ke atas Ning yang sebelum ini bagaikan tersadung oleh beberapa musibah.

Antara kejayaannya ialah pengiktirafan album Selagi Ada yang mencapai kejayaan besar di majlis Anugerah Industri Muzik (AIM) 2003.

Semua kerja keras pengurus berpengalaman ini berjaya meletakkan Ning di tempat yang paling selesa sebagai artis pujaan tanah air.

Namun setelah 10 tahun di bawah kendalian Vernon, tiba-tiba pada bulan Oktober tahun ini, Ning dan Vernon membuat pengumuman membubarkan syarikat pengurusan Ning & Associate Sdn Bhd (NASB). Kini, Vernon adalah pengurus Nubhan dan Niki, dua artis yang bernaung di bawah anak syarikat, Artistes United Records Sdn Bhd (AURSB). Nubhan dan Niki sudahpun menunjukkan peningkatan prestasi dan imej yang dicipta oleh Vernon.

Kepakaran Vernon mengurus artis tidak ubah seperti zaman kegemilangan Mike Bernie, pengurus yang berjaya menaikkan nama-nama besar seperti Anita Sarawak, Sharifah Aini, Khatijah Ibrahim dan Allahyarham Sudirman Hj Arshad pada tahun 70-an.

ADLIN AMAN RAMLIE

Ada saja telatah Adlin Aman Ramlie yang akan menggamit memori silam kehebatan arwah ayahnya, seniman agung A.R Tompel.

Pelakon/pengarah dan penulis skrip ini mula bergiat aktif dalam industri seni tanah air sejak 1996.

Beliau terlibat secara profesional dalam pelbagai produksi teater, drama dan filem serta berkhidmat sebagai Artis Budaya di Pentarama, Jabatan Penerangan Malaysia dari 1990-1994 sebelum melanjutkan pengajian di ASK.

Kelangsungan perjalanan karier seninya cukup memberangsangkan. Selain terkenal sebagai pengkritik Akademi Fantasia dan pembabitan dalam Puteri Gunung Ledang (PGL) The Musical, Adlin telah diberi kepercayaan mengarah telemovie Inspirasi P Ramlee oleh Astro pada tahun ini.

Selain sentuhan magisnya pada interpretasi Teater P Ramlee The Musical arahannya yang mendapat sambutan di luar dugaan bila dipentaskan di Istana Budaya pada tahun ini.

Teater ini pernah memenangi enam trofi pada Anugerah Seni Boh Cameronian 2007 termasuk Arahan Terbaik, Skrip Asal Terbaik (Bahasa Melayu), Rekaan Set Terbaik, Muzik dan Bunyi Terbaik, Aktres Pembantu Terbaik dan Anugerah Pilihan penonton.

Di bawah syarikatnya, Trinini Media Sdn Bhd, pengarah berbakat besar ini merancang menghasilkan filem.

Anak kepada lagenda dan seniman AR Tompel ini bercita-cita untuk menghasilkan skrip serta mengarah filem pada tahun 2009.

ZIELA JALIL

Wanita cekal bernama Ziela Jalil. Bermula dari artis tapi kini bergelar produser dan penerbit.

Penerbit Pena Kreatif Pictures Sdn Bhd ini paling produktif sepanjang tahun ini.

Ziela sudah lama hidup sebagai anak seni dan sudah 'masak' dalam segala selok-belok dalam dunia lakonan. Setelah membintangi 15 buah filem dan beberapa drama, Ziela memberanikan diri menjadi seorang penerbit.

Drama terbitannya, Suara Saleha diangkat sebagai Drama Terbaik Anugerah Skrin 2008 terbitan TV3, baru-baru ini.

Di Anugerah Skrin 2006, drama Lebih Bisa Dari Jelatang menang empat daripada tujuh anugerah dipertandingkan iaitu drama terbaik, skrip terbaik (Mazlan Abdul Manan), pengarah terbaik (Kabir Bhatia) dan pelakon pembantu wanita terbaik (Elza Erdalynna).

Begitu juga dengan drama Anak Angkat dan Kembali juga berjaya mendapat pengiktirafan di Anugerah Skrin TV3.

Kegigihan Ziela mengusahakan syarikat produksi setelah pemergian suami tersayang, bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub yang meninggal dunia pada 24 Januari lalu membuktikan beliau seorang wanita yang cekal. Ziela juga merupakan ibu kepada Puteri Julia Nabilah, 16, dan Megat Jufri Nasrullah, 13.

Aktres yang mula dikenali melalui filem Tarzan Rimba sekitar awal tahun 1990-an ini akan mula berlakon kembali dalam filem Dua Hati Satu Jiwa arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen.

Ziela menyimpan impian untuk menerbitkan filem satu hari nanti melalui syarikat produksinya, Pena Kreatif Pictures Sdn. Bhd. yang sebelum ini banyak menerbitkan drama.

NORA DANISH

Seorang lagi artis wanita yang patut menjadi contoh bagi artis wanita bermasalah. Nora Danish tersenyum di dalam duka, menangis dalam suka.

Walaupun disahkan mengandung, Nora tetap diceraikan sebanyak dua kali oleh suami, Rizal Ashram tetapi pelakon drama 'Puteri' ini sedikit tidak menunjukkan riak duka di wajah.

Keperitan hidup bila kasih diduakan juga tidak pernah dikongsi bersama media. Tidak ada sepatah kata nista yang dilemparkan pada bekas suami. Hanya senyum duka terukir di wajah manis wanita kacukan ini.

Kecekalan Nora mengharungi kehidupan sebagai ibu tunggal dalam keadaan mengandung cukup menginsafkan. Dalam usia begitu muda, Nora menunjukkan kematangan yang seharusnya dicontohi.

LINDA ONN

Linda Onn bijak mengendalikan masalah peribadi.

Sungguhpun sepanjang tahun 2008, penyampai radio popular, Linda Onn bagai dirundung malang dan diduga dengan pelbagai kontroversi, personaliti ini tidak buntu dan mampu menanggung tekanan dan bebanan yang diterima.

Daripada kontroversi tidak muncul di kaca televisyen mengendalikan acara permaidani merah Anugerah Academy ke-79 untuk Star Movies di Los Angeles, California satu ketika dulu, tidak surut dugaan yang menimpa tauke kedai Nasi Ayam ini.

Kontroversi hubungan dengan aktor Fahrin Ahmad masih belum padam, tambahan dengan episod ditengking di set Sehati Berdansa, timbul pula kisah penukaran Linda ke Sinar FM secara tiba-tiba.

Tetapi bekas penyampai radio Era FM ini adalah seorang wanita yang tabah dan bijak menggunakan situasi semasa untuk memihak kepadanya.

Sifatnya yang 'cool' membuktikan sememangnya beliau adalah seorang yang profesional.

0 kiss Me: