Setelah sekian lama memutuskan hubungan, perasaan cinta terhadapnya menjadi semakin tidak keruan dan kamu menginginkannya kembali. Apakah yang harus dilakukan?Saat memutuskan untuk berpisah, kamu yakin bahawa segalanya sudah berakhir dan hubungan itu hanyalah tinggal kenangan...
Hubungan yang dijalinkan selama lebih dua tahun, yang akan diakhiri dengan ikatan tali pertunangan, tiba-tiba dia mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan. Hati siapa tidak hancur diperlakukan begitu.
Putus cinta adalah pengalaman yang amat pahit untuk dilalui setiap insan. Terutama apabila putus dengan alasan yang kurang kukuh atau disebabkan reaksi emosional diri sendiri.
Jadi apa yang harus dilakukan? Biarpun kata putus sudahpun terucap, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah dengan menenangkan fikiran.
Setelah kamu berjaya melawan kata hati, duduk dan fikirlah tentang perhubungan yang amat bererti untuk dipertahankan.
Jujur dikatakan, sekiranya kamu berjaya melalui setiap saat tanpa si dia di sisi, kenapa pula perlu memikirkannya kembali. Tetapi, sekiranya ternyata penyebab utama adalah rintangan yang biasa dihadapi, mungkin kamu patut memperjuangkan perhubungan itu.
Bersikap tenang
Masalah besar yang melanda seorang lelaki adalah sikap egoisnya. Jika si dia mendengar khabar berita yang kamu begitu sedih akan ketiadaannya di sisi sehingga tidak dapat memberhentikan air mata, dia bukannya akan berasa bersalah, malah lebih berasa bangga.
Jadi, jangan berikan si dia kepuasan itu. Tunjukkan kepadanya bahawa dia bukanlah satu-satunya lelaki di dunia ini yang dapat membuatkan hidup kamu ceria.
Buktikan bahawa kamu mampu berfungsi secara normal tanpa dia di sisi. Keluarlah menikmati udara segar di luar rumah bersama rakan-rakan baikmu.
Berfikir sebelum bertindak
Usaha ini lebih berat sekiranya kamu berada di pihak yang memberikan kata putus. Beri masa untuk kamu berdua berfikir seberapa banyak yang mungkin, sebelum memutuskan hubungan.
Biarkan si dia berasa yakin bahawa kamu mempunyai pendirian yang kuat ketika memutuskan hubungan dan bukannya disebabkan emosi terakhir. Biarkan si dia menyedari kesalahannya yang dahulu. Sekiranya dia benar-benar mencintai kamu, dia akan berusaha untuk berubah.
Jangan mengemis simpati
Jangan pula merayu agar si dia kembali semula kepangkuan kamu. Ingat, jangan memalukan diri sendiri di depan si dia dek kerana keinginan cinta terhadapnya. Ini akan membuatkan semua orang tahu perkara tersebut. Bersikap tenang dan sekiranya kamu memang mempunyai jodoh, pasti si dia akan kembali semula kepangkuanmu.
Memang apa yang dipinta tidak akan berlaku secara mendadak. Beri si dia ruang dan waktu, jangan memaksa si dia membuat keputusan. Sekiranya kamu mula merasa putus asa atau sedih akan kehilangannya, cuba sampaikan menerusi doa.
Beri perhatian
Inginkan dia berada di pangkuan kamu semula? ketika si dia sedang menghadapi tekanan di tempat kerja, jatuh sakit atau mengalami krisis keluarga, waktu itu juga kamu harus memberi perhatian terhadapnya.
Mungkin dengan cara menelefon adiknya, teman serumah atau rakan sepejabat akan membuatkan si dia berasa kamu sememangnya insan paling dihargai dan dihormati dalam hidupnya.
Ambil masa
Walau apa pun pendekatan yang kamu lakukan, hanya waktu yang mampu merawat luka-luka lama yang telah berlaku.
Setelah semuanya berada dalam keadaan tenang, cubalah kamu berdua membicarakan hal ini secara profesional. Cari punca wujudkan kemusnahan perhubungan antara kamu dengan si dia. Tetapi, jangan sampai berputus asa atau terlalu menunjukkan yang kamu ingin kembali kepadanya.
Cubalah memperjuangkan jalinan hubungan kamu dengannya. Belajar untuk membangunkan kembali kepercayaan kamu berdua. Capai tahap kepastian dan keinginan cinta yang kamu berdua inginkan dan segalanya akan kembali pada tempatnya.
0 kiss Me:
Post a Comment