Hati terguris bak pisau tajam sehingga menusuk ke jantung. Itulah kata-kata panahan cinta tatkala kamu mengetahui si dia, insan paling dicintai tidak pernah melahirkan perasaan romantis di dalam hidupnya.
Insan mana yang tidak inginkan cintanya dipenuhi bicara-bicara manis setiap kali bertemu, lebih-lebih lagi kala diri mahu difahami tentang definisi sebuah ikatan percintaan yang telah dibina bersama.
Bukan bermaksud si dia perlu meluahkan ketelusan cintanya sebagai saksi cinta kamu berdua. Namun, setidak-tidaknya, buktikan keteguhan cinta kamu menerusi luahan hati dan perasaan dalam pendekatan yang lebih romantis.
Romantika boleh dihuraikan dalam bentuk sikap, perasaan, cara berkomunikasi, perkataan, penampilan dan daya tarikan kamu seandainya pasangan memerlukannya.
Tidak dinafikan, sikap kurang romantis pasangan kadang-kala dapat dirasai selepas bertahun-tahun lamanya kamu menjalinkan hubungan cinta.
Jangan salahkan diri sendiri. Sebelum terlanjur menyintainya, lebih baik kamu semak dahulu tanda-tanda atau punca yang menjadikan diri si dia kurang romantik.
Memihak rakan-rakannya
Antara kamu dan rakan-rakannya, dia lebih memihak kepada kenalannya. Daripada menemani kamu berjalan-jalan atau bersiar-siar di hujung minggu, dia lebih suka meluangkan masa bersama teman-temannya.
Bahkan, si dia sanggup mengajak kamu bersuka ria sambil ditemani rakan-rakannya. Bagaimana kamu ingin bermesra dengannya, sedangkan dia sentiasa mengajak sahabatnya ikut serta? Sekiranya terdapat kesulitan untuk kamu berbual dengan mereka, lebih baik kamu pergi bersama teman-teman kamu sendiri, bukan?
Cakap lepas mulut
Percakapan yang dilemparkan tanpa mengira keadaan atau orang yang ada di sekeliling kamu. Sekiranya bagus, dia akan berkata benar. Tetapi jika tidak, dia tidak segan untuk mengakuinya.
Walaupun apa yang dinyatakan itu ikhlas dan lahir dari lubuk hatinya, tetapi setidak-tidaknya, dia cuba mengambil hati kamu. Terpulang kepada diri individu itu sendiri sama ada inginkan sikap lepas cakap terhadap pasangan atau tidak. Tetapi, janganlah pula kamu sakit hati apabila mendengar komen pedas yang dilemparkannya nanti.
Tidak mengira lokasi
Romantik dalam sesebuah perhubungan sememangnya perlu dititikberatkan oleh setiap pasangan bercinta. Ia perlu dilihat daripada pelbagai aspek kehidupan termasuk makan dan minum.
Sepanjang berkenalan, dia seringkali mengajak kamu menikmati makan tengah hari atau malam di gerai tepi jalan. Sebenarnya, bukan kerana dia tidak mahu memanjakan diri kamu di lokasi yang lebih romantik, tetapi memang ada lelaki memiliki sikap ini.
Baginya, dia akan berasa aneh sekiranya dia mengajak kamu menikmati makan malam di sebuah restoran mewah. Dia lebih senang menikmati hidangan di tempat-tempat khalayak ramai atau kedai yang terletak di pinggir jalan.
Malah, pasangan yang tidak romantik akan berasa lebih selesa apabila mengajak kamu ke destinasi kesukaannya seperti di padang bola, gelanggang bola keranjang atau di litar perlumbaan.
Kurang mesra
Perkara ini akan membuatkan kamu berasa sakit hati dengan sikap yang dia tonjolkan selama ini. Si dia tidak pernah bertanyakan tahap kesihatan mahupun perkara yang kamu gemar.
Malah, ketika bersama kamu, dia lebih gemar berjalan bersendirian bak pasangan yang sedang bermusuhan. Bahkan, dia gemar berjalan dua langkah di hadapan kamu, sehingga kamu terpaksa mengejarnya.
Paling menyedihkan, apabila di saat kamu menyeberangi jalan, dia tidak pernah membantu. Bukan bermaksud dia takut, tetapi memang dia tidak mempunyai inisiatif untuk menyelamatkan kamu.
Menolak filem percintaan
Lelaki jenis ini lebih suka mengajak kamu menonton filem seram, perang, aksi lawan atau komedi. Filem drama romantis? Ehem... mungkin dia akan meluahkan rasa bosan atau tertidur di kerusi panggung wayang apabila kamu memaksanya menonton filem tersebut.
Menjauhi irama syahdu
Tentang selera muzik dan lagu, sudah pasti dia lebih menyukai lagu bersuara hingar-bingar berbanding muzik perlahan dengan tema cinta. Walaupun dia menyukainya, namun dia tidak akan mempedulikan lirik lagu tersebut.
Tidak pernah beri kejutan
Tidak pernah mengirim mesej berbaur cinta malah jarang sekali mengirimkan sejambak bunga, coklat atau hadiah berupa barangan romantis.
Jarang memuji
Si dia yang tidak romantis lebih senang mengkritik kamu daripada meluahkan pujian. Ini menyebabkan pujian yang diberikan kepada kamu boleh dikira dengan jari.
Jauhi kata cinta
Kebiasaannya, si dia tidak pernah meluahkan kata-kata atau ucapan sayang kepada pasangannya. Saat pertama kali mengatakan cintanya ialah sewaktu kamu mula berkenalan. Kata-kata magis ini biasanya akan keluar setelah kamu benar-benar memerlukan kepastian.
Panggilan sayang tidak telus
Jangan harapkan panggilan manis yang dilontarkan boleh membuatkan kamu bahagia dengan panggilan itu. Alasannya, dia malu pada teman-temannya sekiranya memanggil kamu dengan panggilan sayang.
Terlupa saat manis bersama
Ini yang paling menjengkelkan. Si dia tidak pernah mengingati saat manis atau tarikh paling bersejarah dalam perhubungan kamu berdua. Berbeza dengan lelaki romantis, mereka akan sentiasa memikirkan perkara, kata-kata atau hadiah yang pertama kali diberikan sewaktu mula berkenalan dahulu.
Friday, January 9, 2009
Romantiskah Dia???
Write by Baby at 3:35 PM
Labels: Love, Tips+Petua
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 kiss Me:
Post a Comment